melayu.......

MELAYU ITU BUKAN RUPA, BUKAN KULIT, DAN BUKAN ORANG....

MELAYU ITU ALAM, DUNIA, PEMIKIRAN KETUHANAN....

MELAYU ITU... BUDAYA YANG MEMERINTAH

Wednesday, April 21, 2010

SELOKA MELAYU

Melayu bercerita dengan pelbagai cara dari hati ke hati melalui lidah & telinga demi menyampaikan sesuatu maksud, niat, teguran, nasihat, panduan dan sebagainya. Banyak keadaan ianya telah ditokok tambah bagi melunakkan dan melemakkan bicara, namun intipatinya masih seikhlas dan seluhur pembuka kata. Tidak dinafikan, sepanjang jalan bercerita, terdapat jua tokokkan dan tambahan bagi kepentingan diri sendiri pencerita yang mana jika ada baiknya, di resap di jiwa dan dijadikan teladan, manakala jika ada buruknya, tetap diresap di jiwa dan di jadikan sempadan. Namun begitu, berseloka dan bergurindam adalah wadah jati diri turunan pusaka yang semakin pupus dek kecanggihan era yang telah menimbulkan bencana. Kembalilah ke asalnya wahai anak bangsa.... bacalah dan fahamilah, dalam berseloka, ada gurauan, dalam bergurindam ada panduan, jadikanlah pengajaran dan sempadan, semoga hilang segala kerisauan dan muncullah kerinduan.... MELAYU

Refer to Pages utk siri-siri Seloka Melayu nukilan Raden Mas Prabhu Gusti Agung Ki Asmoro Widjoyo, Mahasiddha

Tuesday, April 20, 2010

SURIH MELAYU

SURIH MELAYU

Karya
Raden Mas Prabhu Gusti Agung Ki Asomoro Widjoyo,
Mahasiddha

Ini surih Melayu kita, surih ilmu pelengkap dalilnya, serba rengkas dalam tatanya, namun padat akan isinya, sebagai acara mengenal Dia, sebagai tunjuk akan ajaranNya, kepada Melayu jadi bicara, membawa hikmah kedalam dunia, agar anak cucu yang ada, tetap peka tiada lupa, asalnya kita turun kedunia, atas tugas pembela dharma, inilah surih ayat yang nyata, agar dibaca dimana jua, sematkan ia didalam raga, agar Melayu tiada binasa.

Ini surih lakaran Paduka, jadi pedoman sandri yang ada, jua sekelian keturunan yang ada, seluruh benih Paduka Raja, kepada anak cucu yang mulia, jangan derhaka kepada Paduka, hanya Dia rujuknya kita, hanya Dia tujunya kita, itulah Paduka Raja kita, asal kita galur kuasanya, menjadikan kita umat pertama, diatas dunia ganti Dirinya.
Jangan surih dibaca sahaja, amatilah akan setiap kata, barang disurih azimat perkasa, bukan hanya melambai rasa, bukan mata melihat akannya, tapi hati tajam pilihnya, menilik surih bagai permata, melihat akan hikmah Paduka, menyelam erti bukan hurufnya, tulisan hanya penyampai sahaja, mengenal kaji bukan mengajinya, mengenal sedar bukan pahamya, mengenal isi bukan kulitnya, hanya yang tahu dapat kebenarannya.

Surih hanya syariat belajarnya, hakikat itulah tempat ketemunya, jika mengerti susun belajarnya, baru tahu isi kandungannya, jangan cepat kata salahnya, jangan mudah kata syiriknya, kata manusia tiada asanya, kerana lidah nafsu tulangnya, jika sungguh mengenal dirinya, jumpalah ia akan jalannya, jalan mengenal surih tertera, bukan ayat bermain dimata, hikmahnya jua yang sentiasa nyata.

Kepada Melayu yang masih ada, hargailah ini surih Paduka, jangan hanya merawan rasa, jangan hanya merawang angannya, jangan duduk diam sahaja, masa didunia sekejap jua, kita pasti meninggalkannya, hayatilah surih yang ada, agar munafaat kepada semua, agar hidup tak sia-sia, agar kita pulang semua, kembali penuh rahmat dan sentosa, kembali ke asal kahyangannya kita, itulah harapan Paduka Raja, agar semua Melayu kembali seluruhnya.




.... amatilah secara mendalam dengan fikiran yang terbuka akan cetusan rasa dan peringatan yang disurihkan oleh Paduka ini kerana Melayu yang ada sudah jauh tersasar dari laluan asal nya kita..... malenka sri elang

Untuk mendalami Surih Melayu, sila rujuk kepada Pages SURIH MELAYU yg berkenaan.

Tuesday, March 30, 2010

SASTRA ABADI

Salam Sejahtera Anak-Anak Bangsa Melayu,

SASTRA ABADI yang di nukilkan ini adalah karya pertama yang diperolehi daripada seseorang yang tanpa jemu menceritakan kehebatan alam Melayu kepada mereka-mereka yang terpanggil untuk mendengarnya. Didalam bait-baitnya terselit cerita-cerita, panduan, nasihat, teguran dan sebagainya yang mana sejak kali pertama karya ini diperolehi (lebihkurang 4 tahun yang lalu) sehingga sekarang, ianya telah menjadi satu buku dengan ratusan mukasurat membicarakan hal-hal yang sama dengan serba terperinci. Bacalah dan fahamilah... demi perjuangan GRAHA MELAYU

SASTRA ABADI

Sastra itu kalam kuasa itu pena pendita itu guru agama
sebagai tata untuk acara mengenal diri di alam abdi
sabda brahman sabda resi kebenaran sastra hidup abadi
dibicara halus serba terperinci kebenaran tidak berubah bagi
barulah sang adi dikenal pasti memahami ilmu lurus dan rapi
menjadi pelita dimalam hari inilah guru yang sejati
bukan hanya melafaz kata sudah tenggelam dilautan hakiki
barulah sisalek dipimpin jati kelak ketemu yang abadi

Mantra dibaca di dalam hati mengenal nafas wujud sejati
ilmu jangan dijual beli binasa rohani cacatlah diri
alifa babiba tatata katamantra maujud itu kata yang nyata itu nyawa
dibawa raga didalam dunia lidah berkata membawa makna
indah dipuja raga dan ragam jauhari jua kenal manikam
carilah pendi di kota pesantri bistari itulah tandanya ragi
ibarat timba mencari perigi hantu dan peri menunduk diri

Diksa itu panah di hati sanubari, ramai yang bingung tidak mengerti
nafsu sendiri menjadi saksi atas jahil di alam ini,
kerana asyik berahi duniawi, harta dikejar nikmat dicari, menjadi hina di paksi diri,
aib tidak terkata lagi kerana lupa diri azali
kelak merana dihari nanti, barulah tahu nasibnya nanti
siksa itu perit terluka, akibat keris ditikam didada
tidak sama dengan sidiksa ianya sakit di dalam jiwa
fahamilah ini kata permata untuk mereka yang ingin fana
di dalam dunia Prabhupada berkata
CARILAH MAKNA DIDALAM KATA BUKAN AYAT BERMAIN DI MATA HIKMAHNYA JUA SENTIASA NYATA
sebagai sabda orang mulia menjadi pelita hidup di dunia

Sat maha cat maha ananda, ayatul akhir di pramana syurga
mengenal isi sekelian dunia hanya bayangan sekelip mata
pujalah Dia yang Maha Esa kelak binasa jua dunia
hanya yang kekal diri yang Esa kenal dia serata-rata
inilah ilmu tiada mula tiada titik tiada akhirnya

Guru warga kaula mulia carilah dia andik mulia
jangan ketawa dalam katanya walau lucu penuh bermakna
ada dia di mana-mana walaupun jantan atau betina
kelambu tidurnya ambangan syurga tempat duduknya airmata dhara
kalau leka dia ketawa kalau sedih dia gembira
tiada siapa mengenal dunia kalau diri di dalam dunia
kerna dia bayangan dunia nyatanya ia di dalam jiwa
bagi mereka yang telah ke sana simpanlah ia di dalam bejana
rahsia kaula dengan hambanya terang dan nyata di shahwat cinta
mati merana memuncak naraka tiada dapat afdal dan badal hanya penat tidak terkira
linganya tegak menuju dia sebagai tanda adanya dia
ada samanya tiada, tiada adanya serupa ada
jangan dicari barang yang tiada ketemu akannya ia
seperti pepatah kata pujangga halkum itu dosa dunia perut tempat isinya naraka
kalam adam sifatnya dia sebagai ganti bayangan dia

Bermula itu sastra hikmatnya tiada nyata, mengucap itu kalam diucap halkam
yang dipuji itu diri dipuja itu hati
didalam sanubari duduknya arashi sebagai ganti pembungkus diri
didalam itulah yang hakiki karuna ilahi tidak terperi
sisalik jua yang diberkahi sebagai tanda sempurnanya grahi wa adil suma indra wati.
Maha sastra maha sastri
agama itu tubuh agami itu kaki agam itu tari aga itu hati a itu a..i..u..
kenallah ia pada dirimu hayatilah ia setiap ronggamu
jangan tertinggal barang sesuatu, butamu itu permainan selubungku
duduklah andik didalam sila sempena nama sang pencipta
semadhilah intan didalam kesyukuran agar segara kealam pana
tatva tatvi sarungnya diri berkat ilahi limpah ke qalbi
lima saudara membentuk diri angin api air dan tanah terpuji
pulangnya nur ke nurani pulangnya diri ke empunya diri
jangan lupa prithu dan parthivi asalnya kita menjadi diri
barangsiapa salah mengaji tiada kesampaian ke hujungnya nanti

Satchitta satana agama kalamakula akhwana, ningrat sastama naga narana
balada chinta saktimona, kerahana gersang pariawan pujangga
bakala kasang hyiana saputra, malenggang dunia membakti akna
budiman atma wasesa kama,
jotima lakna baiduri lakshmana brahi cinta kacipan muara gedung nikmat di alam maya
dicari linga seluruh kota,
lipika puspita haruman ishtana cemati cemara puaka tok raya
runtuh dunia kerana dosha sumpahan bonda sianak dhara
jagalah wahai insan manusia dilupa jangan janji si mera
kacip dewi sekangkang kera, syahdu adika menusuk sukma
runtoh nagara kerana dia, apsara naraka bidadari dunia.

Chahya catna nirmala nilapuri, akulah bhima ardjuna sakti
gustima atika sempurna tantra, aniya dunia anaya alamari
anomaya kosa kastara mukti, limpahan suri cakravati
kutubun kali waliama auli, kelibat gangga gerhana mentari
chandramukta suriabakti, aya ayo hai vahana sakti
mulaprakiti mahasakti adima mani adama ivi
vayu agni pawana indri, kuseru geliga si chintamani
tatika rama sanggama sita bayoh kuripan tumpahan wadi
nuriwan adil narawan ratu sebati kosa menjadi satu
camar putih sijebat kasih dipanah dewa cokmar selasih.



... sekiranya ada kesempatan, akan hamba bentangkan lagi huraian-huraian mengenai bait-bait di atas yang kini telah menjadi ratusan mukasurat buat tatapan pembaca. Semoga tuan/puan dapat lebih memahami isi nya lebih daripada hamba... Bukan ayat bermain di mata, hikmahnya jua sentiasa nyata....

Monday, March 29, 2010

ANTOLOGI SEJARAH DAN PENGENALAN KPD ASAL USUL DAN FITRAH MELAYU


Antologi Sejarah & Pengenalan Asal Usul & Fitrah Melayu adalah buah fikiran asal milik Raden Mas Prabhu Gusti Agung Ki Asmoro Wijoyo Mahasiddha manakala hamba, Malenka Sri Elang hanyalah seorang insan lemah yang dipertanggungjawabkan untuk memaparkan hasil karya beliau untuk bacaan dan pengamatan saudara-saudari anak-anak bangsa Melayu. Ini merupakan bahagian asas pengenalan kepada satu bab huraian yang panjang. Jika di izinkan NYA... hamba akan menyambung paparan ini hingga ke titik noktahnya (jika ada). Terima kasih dan bukalah minda seluas-luas nya kerana Dunia Melayu tiada sempadan dan merupakan satu titisan kecil daripada kekuasaanNYA.

Untuk membaca, mengamati dan mendalami perspektif beliau mengenai topik ini dipersilakan saudara/saudari untuk merujuk kepada halaman pages yang berkenaan.

Sunday, March 28, 2010

INTRODUCTION

SALAM SEJAHTERA untuk semua

"MULA CIPTA RUPA NYATA, ASALNYA CIRI PADUKA RAJA, MEMULIAKAN MELAYU SELURUH DUNIA, SEKELIAN YANG GHAIB MAUPUN NYATA, ASAL SASTRA KALAM PADUKA, SEKELIP MATA MENJADI ADA, CERITA MELAYU DIKALA PURBA, HIDUP KEMBALI DIKALAMULA"

Wahai anak-anak bangsaku..... izinkanlah hamba menumpang lalu di perbatasan ini mencoretkan serba sedikit luahan dan berkongsi karya, moga dapat di jadikan panduan untuk anak dan cucu demi graha Melayu.

Melayu menyampaikan maksud melalui bercerita kepada anak cucunya. Nasihat, panduan, cerita, seloka, gurindam, pantun, peribahasa dan sebagainya adalah wadah penyampaian yang di amalkan oleh Melayu sejak berzaman demi menyampaikan sesuatu maksud. Beradab sopan adalah jati diri Melayu, dalam bercerita diselitkan maksud yang tersirat dan tersurat untuk difahami tanpa menyisihkan kehormatan penyampai dan pendengar. Betapa indahnya pengajian Melayu itu.....

Beberapa petikan dan seloka sebagai pengenalan awal.. :

..."...buat apa berkira-kira, selagi hati masih durjana, buat apa berjanji setia, hanya semu lidah berkata...."

..."...katamu hebat dibibir sahaja, bila salah diam sahaja, bila gagal ada alasannya, bila kalah yang lain sebabnya, bila mungkir bukan salahnya, bila dipuji akulah orangnga..."

..."...kenapa berdalih bermain kata, katamu ia tidak pun sama, kenapa kata berjanji setia, kenapa lari tiba masanya, kenapa tidak tegakkan kata, pantang Melayu berdalih adanya, tiada Melayu mungkir janjinya, tiada Melayu dengki hatinya..."

..."...janji jangan ditinggalkan sahaja, kelak badanmu akan binasa..."

..."...hidup takut sengsara tiba, hidup berlakon di atas rasa, atau jahat hatimu jua, tiada nyata bila sukanya, bila susah menimpa rasa, baru nampak akan celanya, baru terkeluar akan berangnya, baru terbuka pekong di dada, aduhai Melayu tak kenang jasa..."

..."...tiada mahu bersama-sama, tiada mahu mengota kata, tiada mahu malu sikapnya, hanya benar rasa sentiasa, bila di tegur pantas balasnya, bila di usik cemas hatinya, bila susah goyang hidupnya, bila marah segera hukumnya, bila berjanji memilih jasanya, bila bertuan yang kaya raya sahaja..."

..."...inikah Melayu diberi nama, tugas diatas upah yang ada, atau rela berkorban nyawa, atau mati diatas kebenaranya..."

..."...jika di cela marah hatinya, bila di uji kecil dirinya, bila susah hilang semangatnya, bila senang lupa janjinya..."

..."...bila diminta berkira-kira, bila menolak ditimbang-timbangnya, kalau yang benar lakukan sahaja, biar yang salah dihukum sahaja, berdolak-daleh kerjanya kita, takut mati miskinnya kita, kata orang di atas dunia, berani itu kerana benarnya, takut itu ada lah salahnya..."

..."...Melayu apa Melayu nista, Melayu mana gagah dirinya, hanya seloka menunggu senja, hanya mati menunggu akhirnya..."

..."...mengenal ikat tersimpul rata, tiga kerat pembekal makna, jika bijak buka sampulnya, jika hebat pecah ruyungnya, jika tidak berundur saja..."

petikan-petikan di atas bukanlah sesuatu yang baru, malah ianya sudah berzaman dilidah Melayu yang mengajar anak cucunya dalam melayari kehidupan di dunia yang fana ini. Sedikit-demi sedikit ianya samada secara sengaja atau tidak sengaja, secara sedar atau tidak, secara halus atau kasar... ianya semakin hilang di kaburi dakyah-dakyah, perbuatan, kehendak, naluri dan nafsu yang berleluasa. Bangkitlah bangsaku... kembalilah kepada yang asalmu... satu bangsa yang terhormat, gagah di nusantara, penegak kebenaran yang hakiki, budaya yang memerintah.... Ketahuilah... Melayu sudah lama di dunia ini....
sekian dahulu, terima kasih.